Quicksilver, Billabong, dan Volcom bakal ditutup akibat bankrap

NEW YORK: Syarikat jenama Quicksilver, Billabong, dan Volcom dilaporkan akan ditutup selepas pengendali, Liberated Brands LLC, memfailkan muflis di bawah Bab 11 awal minggu ini.

Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh CBS News pada Ahad, punca utama berlakunya kejadian itu adalah kenaikan kadar faedah, inflasi yang berterusan, kelewatan rantaian bekalan, penurunan permintaan pengguna, perubahan dalam keutamaan pengguna dan kos tetap yang besar menjejaskan kedudukan syarikat itu.

Syarikat itu juga mempunyai hutang berlipat kali ganda mencecah $226 juta (RM1.07 bilion) dengan hampir 1,400 pekerja diberhentikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liberated, Todd Hymel, mengemukakan kenyataan sepanjang 29 halaman yang memperincikan sebuah siri rintangan dan cabaran utama, yang sudah pun difailkan di Mahkamah.

“Syarikat ini telah berdepan dengan lebih banyak cabaran yang disebabkan oleh tren yang menjejaskan persekitaran runcit secara keseluruhan.

“Termasuklah perubahan dalam keutamaan pengguna terhadap fesyen pantas dan e-dagang berbanding pakaian berjenama dan runcit fizikal,” tulis Hymel.

Beliau turut berkata walaupun keuntungan meningkat semasa pandemik COVID-19 apabila permintaan pelanggan untuk pakaian luar dan membeli-belah dalam talian meningkat, membeli-belah secara fizikal di kedai tidak pernah sepenuhnya pulih.

Jenama-jenama yang berakar umbi dalam budaya sukan air, salji, dan papan selaju ini akan terus menghasilkan pakaian walaupun lebih 120 kedai runcit ditutup.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat