Hubungan Malaysia-Turkiye lebih erat menerusi lawatan Erdogan

PETALING JAYA: Hubungan antara Malaysia dan Turkiye menjadi lebih erat, berkekalan dan berpandangan jauh menerusi lawatan Presiden Recep Tayyip Erdogan ke negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Erdogan telah memimpin Turkiye melalui era transformasi yang luar biasa selama lebih daripada dua dekad.

“Beliau telah melakukannya dengan kejelasan tujuan dan keyakinan yang jarang dan patut dicontohi.

“Sesungguhnya, Presiden Erdogan telah mengubah cara diplomasi Turki, mengembalikan kebanggaan negara, dan memposisikan Turkiye sebagai pemain yang tidak dapat diketepikan di pentas global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan Majlis Syarahan Umum Erdogan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya pada Isnin.

Erdogan tiba di Malaysia pada Isnin untuk lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar menggambarkan persahabatannya dengan Erdogan sebagai hubungan yang dibina bukan atas kepentingan, tetapi atas dasar solidariti yang teguh.

“Pada saat-saat kesukaran peribadi, beliau menghulurkan bantuan ketika ramai yang menjauhkan diri. Sokongannya bukanlah sekadar untuk memenuhi kewajipan atau kepentingan politik.

“Tidak, ia adalah sokongan ikhlas atas rasa persaudaraan yang tulus. Saya tidak pernah melupakannya, dan saya tidak akan pernah lupa,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menyifatkan bahawa Turkiye hari ini lebih kuat, lebih yakin, dan lebih bertekad daripada mana-mana waktu dalam sejarah moden negara itu, dan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kepimpinan Erdoğan.

“Hari ini, kami menyambut bukan sahaja seorang ketua negara, tetap juga seorang pemimpin yang pengaruhnya dirasai jauh melangkaui sempadan negaranya.

“Sebagai wakil Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden Erdoğan kerana telah meluangkan masa bersama kami hari ini,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat