Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di amanah untuk menjadi tulang belakang kepada kerajaan dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan.
Kenyataan itu diperakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Katanya, inisiatif itu adalah susun galur yang wajar diteruskan dengan pelbagai skim bantuan bagi menyambut komitmen yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya mahu MAIWP meneruskan usaha menoktahkan kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan dengan inisiatif skim bantuan untuk menyambut komitmen YAB Perdana Menteri.
“Ini antara mesej utama Perdana Menteri kepada warga Jabatan Perdana Menteri dalam Majlis Perjumpaan bagi bulan Februari 2025 pagi tadi,” ujarnya.
Pada tahun lepas, media melaporkan terdapat tiga negeri dan satu Wilayah Persekutuan iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis mencatatkan sifar miskin tegar.
Dalam laporan sama, didapati secara keseluruhan, sebanyak 1,793 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar direkodkan di seluruh negara.