PM: Bersama menghargai kepelbagaian

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada semua penganut Hindu dalam negara.

Beliau berkata Thaipusam bukan sekadar perayaan, tetapi menjadi simbol ketabahan, keazaman, dan pengorbanan dalam menempuh ujian kehidupan bagi penganutnya.

“Ia turut mencerminkan kekuatan dalaman dan disiplin mereka dalam mendepani tantangan.

“Tidak hanya itu, Thaipusam turut menyerlahkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian dalam konteks kenegaraan. Ia menjadi bukti bagaimana masyarakat boleh bersatu dalam suasana yang penuh dengan rasa hormat, kebersamaan dan kekeluargaan,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya lagi, cerminan masyarakat yang berdiri teguh dalam nilai-nilai kemanusiaan, kasih sayang, dan saling memahami ini sangat diperlukan dalam dunia yang semakin tidak menentu ini.

“Semangat saling menghormati dan menerima perbedaan harus menjadi tunjang yang memungkinkan perpaduan.

“Keunikan budaya dan amalan yang berbeda harus diraikan sebagai kekuatan, bukan pemisah dan sebagai elemen yang memecah.

“Lantas, ciri ini yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan serta nilai-nilai murni dan dihormati tidak hanya di rantau ini, malah seantero dunia,” katanya.

Tambahnya, setiap perayaan yang berlainan dan unik seperti ini seharusnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan yang menjunjung prinsip berdamping (coexistence).

“Saya sering beranggapan bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat yang bertuah kerana dikurniakan kepelbagaian untuk dijadikan ruang untuk kita saling mengenali dan berkasih sayang, bukan menyebar serta memicu kebencian.

“Justeru, mari bersama membenih semangat kebersamaan, menghargai kepelbagaian, dan memperkukuh kasih sayang.

“Hanya dengan memahami dan menghormati satu sama lain, kita dapat menjamin sebuah negara yang bertamadun, bermaruah dan makmur buat semua,” katanya.

Anda Mungkin Berminat