Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menahan seramai 37 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu Tindakan Operasi Penguatkuasaan pada 11 Februari lalu di Pangsapuri Timur, Serdang.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan ini diambil susulan aduan awam berhubung PATI yang disyaki tinggal di unit-unit kediaman pangsapuri tersebut tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.
Ujarnya, semasa serbuan dijalankan, terdapat warga asing yang enggan memberikan kerjasama hingga memaksa pegawai operasi memecahkan pintu unit kediaman.
“Beberapa orang warga asing juga dikesan bersembunyi di ruang siling bumbung dan tangki air namun helah tersebut dapat dikesan dan kesemua PATI berjaya ditangkap.
“Seramai 82 individu pelbagai warganegara telah diperiksa dan hasilnya seramai 37 orang PATI yang berumur di antara 19 hingga 50 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Tambahnya, operasi tersebut diketuai oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan telah dilaksanakan dengan kekuatan seramai 58 orang pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya.
“JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya lagi.
Baca juga: