Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Satu jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Malaysia bersama Kementerian Perdagangan Turkiye.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, MoU yang dimeterai berfokus kepada kerjasama dalam perlindungan pengguna serta pemantauan dan pemeriksaan pasaran.
“Kewujudan kerjasama ini dan penubuhan jawatankuasa ini merupakan langkah tepat, yang akan memberikan faedah dan peluang kepada kedua-dua negara dalam berkongsi amalan terbaik, kepakaran, pengalaman, serta pengetahuan untuk penambahbaikan dasar dan pelaksanaan program dalam bidang yang telah dipersetujui,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Semalam, MoU itu telah ditandatangani oleh Armizan bersama bersama Menteri Perdagangan Turkiye Prof Dr Omer Bolat yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, semasa lawatannya ke Malaysia.
Tambah Armizan, jalinan kerjasama rasmi ini adalah kesinambungan daripada perbincangan dan usaha rintis yang telah disepakati bersama Prof Omer semasa lawatan kerja beliau ke Turkiye pada September tahun lalu.
“Melalui MoU ini, kedua-dua negara akan mendapat manfaat termasuk penerokaan kerjasama untuk mendalami aspek standardisasi keselamatan barangan, pendekatan pendigitalan serta pengumpulan data dan analitik dalam pelaporan kepenggunaan dan harga barangan.
“Ini meliputi kaedah pengurusan aduan serta mekanisme pemantauan harga barang dan perkhidmatan,” katanya.
Baca juga: