Polis seru orang ramai beri maklumat kedai mercun terbakar di Cheras

Oleh: Hanim Nadia

CHERAS: Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran sebuah kedai mercun di kawasan Bandar Mahkota, di sini yang mengakibatkan lima kenderaan musnah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kebakaran itu tampil bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 9.50 malam dan kebakaran berjaya dikawal anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Hasil siasatan mendapati sebanyak tiga kereta dan dua motosikal turut terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran.

“Individu yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat iaitu Sarjan Mohd Emran Mohd Noor ditalian 013-7638512,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Semalam, media melaporkan lima kenderaan musnah selepas sebuah gerai menjual mercun terbakar.

Lima kenderaan yang terbakar ialah Toyota Vellfire, Perodua Bezza, Proton Saga serta dua motosikal.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat