WASHINGTON: Raja Jordan Raja Abdullah II sekali lagi menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi Jordan yang menolak rancangan Donald Trump untuk memindahkan penduduk Gaza dan Tebing Barat semasa dalam pertemuan mereka di White House.
Tegas beliau, keputusan ini adalah pendirian bersama dunia Arab.
“Saya mengulangi pendirian teguh Jordan terhadap pemindahan penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
“Keutamaan semua pihak adalah menangani situasi kemanusiaan membina semula Gaza tanpa mengusir penduduknya,” tulisnya di platform X selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dalam pertemuan itu, Raja Abdullah memberitahu Trump, negaranya boleh mengambil 2,000 kanak-kanak Palestin dari Gaza sakit teruk atau menghidap kanser.
Katanya, langkah ini merupakan sebahagian daripada respons kemanusiaan Jordan terhadap krisis di Gaza.
Terdahulu, dalam temu bual dengan Fox News yang disiarkan pada malam Isnin, Trump berkata, mereka yang meninggalkan Gaza tidak akan mempunyai hak untuk kembali dan menamakan Mesir dan Jordan sebagai dua negara yang akan mengambil rakyat Palestin.
Trump berkata, ia adalah projek yang beliau mahu mulakan “hampir serta-merta.” selepas merujuk wilayah itu sebagai tapak perobohan.
Baca juga: