Oleh: Hanim Nadia
SEPANG: Taktik licik dua lelaki tempatan untuk menyeludup dadah dalam kotak makanan ringan terbongkar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 7 dan 8 Februari lalu.
Kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun itu telah ditahan bersama dadah yang dianggarkan bernilai RM 607,200.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at mendedahkan, sindiket itu menggunakan perkhidmatan ‘self check-in’ untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
“Namun, kecekapan pihak polis berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki yang mencurigakan di Balai Pelepasan KLIA2,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Hasil siasatan lanjut, polis menemui lapan bungkusan bertulis “Guanyingwang” yang berisi serbuk dan ketulan kristal methamphetamine seberat 8,434 gram.
Tambahnya, seorang lagi suspek ditahan di lokasi yang sama bersama kotak mengandungi plastik bertulis “Guanyinwang” dengan serbuk kristal methamphetamine seberat 10,541 gram.
Walaupun suspek tidak mempunyai rekod lampau, saringan mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah methamphetamine.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu membekalkan kepada 94,875 orang penagih dalam sehari.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 14 Februari dan sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati,” katanya.