Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuhkan sokongan kepada Gaza di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan mendapat kecaman antarabangsa termasuk dari Malaysia.
Penganalisis Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed menyifatkan tindakan Trump sebagai bukti jelas kejahatan AS terhadap Palestin.
“Apa yang cuba dilaksanakan oleh Trump ialah menjadikan Gaza sebagai penempatan yang dikuasai sepenuhnya oleh Amerika bagi mengekang pengaruh negara-negara Islam di Asia Barat.
“Dengan menguasai Gaza, Amerika akan meletakkan kekuatan ketenteraan yang memastikan wilayah Israel dilindungi sepenuhnya dengan bantuan Amerika,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Tambahnya, walaupun terdapat ketegangan diplomatik, Malaysia tetap teguh dengan pendirian yang seiring dengan negara-negara Islam lain.
Malah katanya, konsistensi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Palestin juga mendorong Malaysia dan negara-negara Islam lain untuk terus menyokong gencatan senjata serta tindakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) terhadap Israel.
“Peranan Malaysia dalam menyelesaikan konflik Gaza jelas termasuk kerjasama dengan Jepun dalam pembangunan semula Gaza.
“Anwar juga mengusahakan bantuan kemanusiaan dengan membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia untuk rawatan.
“Beliau (Anwar) terus bersuara mengenai Palestin ketika di luar negara,” tambahnya.
Menurut Dr Martadha, AS kini dilihat keseorangan dalam menyokong Israel dengan negara-negara seperti China, Rusia dan Kesatuan Eropah (EU) menyuarakan sokongan kepada Gaza untuk kembali ke tanah asal mereka.
Jelasnya lagi, masyarakat antarabangsa terus mengecam tindakan Trump dan menegaskan usaha-usaha tersebut tidak akan menghalang sokongan kepada Palestin.