Akta 522 dipinda bendung kegiatan tukar beras

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohmad Sabu memaklumkan bahawa, kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) bagi meningkatkan penguatkuasaan ke atas golongan pengilang, pemborong dan peruncit makanan ruji itu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, pindaan akta itu juga dijangka dapat membendung kegiatan menukar beras tempatan menjadi beras import.

Jelasnya, peruntukan seksyen sedia ada di bawah akta itu dilihat masih longgar dan tidak mencukupi dalam membendung kegiatan itu.

“Selepas ini kita akan pergi ke fasa kedua iaitu penguatkuasaan termasuk meminda Akta 522. Di mana kita tahu akta itu begitu longgar sehingga berlaku kegiatan pencampuran beras, (persoalannya) sama ada kita boleh dakwa di mahkamah dan sebagainya.

“Ini dilihat oleh pihak undang-undang. Perlu ada beberapa pindaan supaya apabila kita beralih ke fasa kedua nanti, kita akan dapat membela kedudukan petani ke tahap lebih baik,” katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis.

Akta 522 ketika ini tidak menyenaraikan kesalahan mencampurkan beras tempatan dengan beras import.

Akta itu sebaliknya hanya menetapkan tujuh jenis kesalahan antaranya menyorok beras dengan tujuan mewujudkan kekurangan bekalan, menjual beras secara borong atau runcit tanpa lesen serta menjualnya melebihi harga kawalan.

Terdahulu, Mohamad mengumumkan fasa pertama untuk menangani isu ketiadaan beras tempatan di pasaran.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat