PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyokong penuh dengan pencalonan Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai Ketua AMK Malaysia dalam pemilihan akan datang.
Naib Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad berkata beliau yakin dengan majoriti pimpinan AMK Johor bersetuju dengan pencalonan tersebut.
“Saya percaya bahawa Kamil Munim adalah pemimpin berwibawa, progresif dan berprinsip, yang telah membuktikan rekod kerja cemerlang sepanjang penglibatannya dalam AMK.
“Sebagai Timbalan Ketua AMK Malaysia, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh organisasi, menggerakkan jentera pemuda, serta memperjuangkan dasar-dasar yang mengutamakan kepentingan anak muda.
“Dengan ketokohan serta pengalaman yang dimiliki, Kamil Munim adalah pilihan terbaik untuk memimpin AMK ke arah masa depan parti yang lebih dinamik,” katanya di Facebook pada Khamis.
Faezuddin juga percaya kepimpinan baharu AMK Malaysia perlu diterajui oleh seorang pemimpin yang berani, berwibawa, dan mempunyai rekod kerja yang baik.
“Saya menyeru kepada seluruh anggota AMK di seluruh negara untuk bersatu dan memberikan sokongan penuh kepada Kamil Munim dalam pemilihan parti kali ini,” katanya.
Terdahulu, Kamil Munim, mengakui wujudnya permintaan daripada akar umbi supaya beliau bertanding bagi jawatan Ketua AMK bagi pemilihan PKR Mei ini.
Hal ini susulan Ketua AMK sekarang, Adam Adli akan tamat penggal dan juga telah melepasi kelayakan umur untuk bertanding jawatan sama.
Baca juga: