PETALING JAYA: Pada mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dibentangkan kemajuan terkini berkaitan agenda transformasi negara yang menunjukkan perkembangan positif.
Menurut beliau, antara kemajuan tersebut adalah naik taraf perkhidmatan wifi (internet) di Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis yang telah selesai.
“Serta penambahbaikan yang akan diperluaskan kepada 13 Institusi Pengajian Tinggi Awam, 24 Institusi Pendidikan Politeknik dan 43 Kolej Komuniti.
“Saya turut meminta untuk memperhalusi kelulusan projek ICT Kerajaan melalui pendekatan Enterprise Architecture (EA) secara holistik dengan mengambil kira kolaborasi merentas agensi, perkongsian infrastruktur, data, maklumat dan perkhidmatan selaras dengan hasrat kerajaan dalam perbelanjaan berhemah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau menegaskan kepada kementerian dan agensi yang terlibat supaya mematuhi jadual pelaksanaan yang ditetapkan bagi memastikan hasil inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat.