Desak OIC adakan sidang tergempar bincang pelan Trump ‘kosongkan’ Gaza

PETALING JAYA: Seluruh negara Islam di dunia perlu bersatu bagi mengecam pelan kontroversi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu ‘mengosongkan’ wilayah Gaza.

Justeru, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa, Malaysia perlu mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan isu tersebut.

Beliau berkata, sidang tersebut adalah penting meskipun terdapat negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku kerana cadangan ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan global, tetapi mengancam kestabilan geopolitik antarabangsa.

“Kegilaan Trump dan sekutunya, Benjamin Netanyahu harus berhenti dengan segera kerana ia jelas melanggar batas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

“Dalam masa sama, saya setuju dengan cadangan beberapa rakan Ahli Parlimen supaya satu usul khas dibentang di Dewan Rakyat khusus untuk membincangkan kegilaan Trump dan kezaliman yang masih tiada noktah buat saudara kita di Gaza,” katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis.

Terdahulu, Trump komited untuk ‘membeli’ dan memiliki Gaza, namun tidak menolak kemungkinan membenarkan beberapa bahagian wilayah itu dibangunkan semula oleh negara lain di Asia Barat.

Trump berkata, beliau juga terbuka terhadap kemungkinan membenarkan sebahagian pelarian Palestin memasuki AS tetapi akan mempertimbangkan permohonan berdasarkan kes.

Pengumuman Trump itu kemudiannya mendapat kecaman daripada beberapa negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat