Hormati Perlembagaan Persekutuan! – Asyraf Wajdi

PETALING JAYA: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi menegaskan tiada keperluan untuk melantik seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan.

Malah, beliau menggesa semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan terutama berkaitan Perkara 3 berhubung kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu.

“Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa, Islam adalah agama Persekutuan (Perkara 3), tetapi ia juga menjamin kebebasan beragama untuk semua (Perkara 11), namun tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam.

“Menteri Perpaduan yang patut jalankan kerja!,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.

Beliau menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.

Mengulas lanjut, kata Asyraf, pandangan dan cadangan boleh dibuat namun akhirnya Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara adalah pemutus segalanya.

“Mungkin ada pula yang persoal bahawa perlembagaan boleh dipinda.

“Ya! Namun dalam hal melibatkan kedudukan Islam dan Melayu, syarat untuk meminda bukan sahaja Ahli Parlimen mesti cukup minima 148 orang (2/3 majoriti) menyokong pindaan tetapi yang paling penting mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya sambil menambah perkara ini adalah pendirian Presiden dan pimpinan UMNO.

Malah, katanya, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan sudah menandatangani perjanjian untuk tidak sesekali melanggar Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam, keistimewaan Melayu-Bumiputera, kedaulatan Raja2 Melayu dan Bahasa Melayu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat