PETALING JAYA: Malaysia dan Indonesia memperkukuh kerjasama serantau dalam memperkasa sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Wakil Menteri Luar Negeri, Republik Indonesia TYT Arif Havas Oegroseno pada Khamis.
Pertemuan itu bersempena kunjungan hormat wakil Indonesia ke Malaysia dalam siri lawatan kerja dari 12 hingga 13 Februari ini.
“Sejajar dengan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia, pertemuan ini membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala dan serantau dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
“YB Arthur memaklumkan, sempena kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun ini, KPKM sedang menerajui penyediaan salah satu Priority Economic Deliverables (PED) di bawah naungan Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF).
“Beliau berkata, PED ini akan dibentangkan semasa Mesyuarat AMAF Ke-47 yang dijadualkan berlangsung pada bulan September 2025, dan memohon sokongan Indonesia serta semua negara anggota ASEAN terhadap usaha merealisasikan masa depan pertanian yang mampan dan berdaya tahan melalui PED ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pertemuan itu juga, Arthur menjemput pihak Indonesia untuk menghadiri Mini Malaysia Agriculture, Horticulture, and Agrotourism Show (Mini MAHA) 2025 yang bakal diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN dalam bulan November 2025.
Untuk rekod, pada tahun 2023, Indonesia merupakan salah satu daripada rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia dalam sektor agro makanan dan produk pertanian terpilih.
Dalam sektor pertanian sahaja, jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada tahun 2023 adalah sebanyak RM18.88 bilion.
Baca juga: