AMERIKA SYARIKAT: Presiden Trump mengadakan panggilan telefon hari ini dengan Vladimir Putin yang beliau gambarkan sebagai “panjang lebar dan sangat produktif.”
Beliau menyifatkan perbualan itu merupakan perbincangan pertama yang disahkan antara kedua-dua pemimpin sejak Trump kembali ke White House, iaitu sebagai permulaan rundingan untuk menamatkan perang di Ukraine, memetik laporan The New York Times.
Presiden itu telah berjanji semasa kempen pilihan raya bahawa perang itu akan tamat dalam tempoh ’24 jam’ selepas beliau memegang jawatan dan beliau telah memberitahu penasihatnya bahawa menyelesaikan konflik itu adalah keutamaan bagi pentadbirannya.
Bagi Putin, panggilan hari ini menandakan runtuhnya usaha Barat untuk mengasingkannya secara diplomatik selepas pencerobohan penuh Rusia ke atas Ukraine pada tahun 2022.
Volodymyr Zelensky, Presiden Ukraine berkata, beliau mengadakan panggilan telefon tersendiri dengan Trump kemudian mengenai “merangka langkah seterusnya untuk menghentikan pencerobohan Rusia dan memastikan keamanan yang berkekalan dan boleh dipercayai.”
Namun begitu, Ukraine nampaknya mempunyai ‘leverage’ (pengaruh) yang terhad.
Awal hari ini, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth berkata dalam satu mesyuarat NATO bahawa, adalah “tidak realistik” untuk Ukraine memulihkan sempadannya seperti sebelum tahun 2014, ketika Rusia menyokong pemberontakan pro-Rusia di timur Ukraine.
Hegseth juga berkata bahawa AS tidak menyokong keinginan Ukraine untuk menyertai NATO sebagai sebahagian daripada pelan damai yang realistik.