PM umum dana RM1.2 juta baik pulih PPR Lembah Subang 1

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan segera RM1.2 juta untuk membaik pulih kemudahan termasuk lif di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya.

Katanya, peruntukan RM1.2 juta itu akan disalurkan kepada KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) selewat-lewatnya pada Jumaat ini.

“Syarikat pengendali lif kena ingat, kita boleh bayar. Kelulusan wang segera, Ketua Setiausaha ada di sini, kita segera kelulusan, Datuk Bandar juga ada. Kalau lambat peruntukan sampai, beritahu saya.

“Kalau peruntukan sudah lulus tapi kerja masih tak jalan, Datuk Bandar kena jawab dengan saya tapi saya percaya Datuk Bandar seorang yang prihatin dan saya berterima kasih dengan kerjasama diberikan.

“Minggu depan saya nak laporan dah jalan atau tidak,” katanya semasa hadir ke majlis meraikan Forum Komuniti PPR Lembah Subang 1, pada Khamis.

Tambahnya, pada tahun ini, Kerajaan telah memperuntukkan RM185 juta untuk projek baik pulih 358 Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau mahu PPR Lembah Subang 1 dijadikan sebagai perumahan rakyat untuk golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai contoh kepada projek sama di seluruh negara.

“Kita baiki lagi, kita nak jadikan PPR Lembah Subang 1 contoh bagi semua PPR dalam negara kita.

“Satu lif di Lembah Subang 1, siapa nak ambil tahu, tapi Kerajaan Madani ini, lif Subang ke Kabinet Malaysia, menteri-menteri dan Perdana Menteri ambil tahu berapa lif rosak di Wangsa Maju, dari 24 dari 25 lif rosak.

“Berapa lif rosak di Lembah Subang 1, tiga (unit). Ini baru kerajaan yang prihatin tentang nasib rakyat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat