Siasatan polis terhadap peserta himpunan rasuah, tahanan SOSMA dihenti – Anwar

PARLIMEN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghentikan serta-merta siasatan terhadap peserta mahasiswa yang terlibat dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah yang diadakan pada 25 Januari lalu.

Tindakan itu juga melibatkan himpunan oleh ahli keluarga tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Anwar berkata, semua siasatan tersebut akan dihentikan dan tidak akan ada tindakan yang diambil terhadap peserta himpunan tersebut.

“Tindakan (polis) sebelum ini iaitu siasatan terhadap semua mahasiswa yang terbabit dalam himpunan bebas rasuah, siasatan dihentikan dan tidak ada tindakan akan diambil,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) di Dewan Rakyat dengan menyatakan tindakan sama juga diambil terhadap mogok lapar dan tunjuk perasaan mengenai SOSMA.

Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang berlangsung pada 25 Januari lalu menuntut tiga perkara untuk memastikan politik Malaysia bersih dan bebas daripada rasuah.

Tuntutan tersebut termasuk pemisahan Pejabat Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO), meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen dan seliaan rakyat serta menyegerakan Akta Pendanaan Politik.

Anda Mungkin Berminat