Tidak perlu jawatan Menteri Agama bukan Islam

PETALING JAYA: Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz membidas dan menolak cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui untuk melantik Menteri Bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam pada peringkat Persekutuan.

Tegas beliau, Malaysia tidak memerlukan pelantikan Menteri Bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam kerana peruntukan Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam adalah agama rasmi negara ini.

Tambahnya, dokumen sejarah Perlembagaan tidak pernah membincangkan mengenai pelantikan menteri untuk agama bukan Islam, berbanding kedudukan Islam yang jelas dinyatakan dalam Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan penubuhan institusi Islam.

“Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan (Perkara 3), tetapi ia juga menjamin kebebasan beragama untuk semua (Perkara 11), namun tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam.

“Tiada peruntukan yang menyatakan agama dalam Senarai Persekutuan untuk dijadikan asas kepada pelantikan Menteri yang dimaksudkan.

“Oleh itu, agama berada dalam kuasa negeri kerana perkara baki (risidual iaitu perkara yang tidak nyata dalam Senarai Perundangan) adalah di bawah kuasa negeri,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan meletakkan urusan agama bukan Islam di bawah kuasa negeri, manakala Islam mempunyai struktur pentadbiran tersendiri melalui Majlis Agama Islam Negeri yang ditubuhkan berdasarkan undang-undang negeri masing-masing.

Namun begitu, katanya, amalan pentadbiran negara tidak pernah mengenepikan urusan orang atau agama bukan Islam.

“Terdapat Kementerian dan Jawatankuasa yang menjaga hak kepentingan orang bukan Islam, iaitu Kementerian Perpaduan dan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum. Kebajikan pendidikan juga tidak diabaikan oleh Kerajaan.

“Untuk kebajikan lain ia boleh diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), seperti hal berkaitan penubuhan rumah-rumah untuk melaksanakan ritual agama mereka,” katanya.

“Menguruskan pelbagai agama oleh seorang menteri juga bukan tugas mudah. Agama bukan Islam di Malaysia terdiri daripada pelbagai kepercayaan seperti Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan lain-lain. Menteri berkenaan perlu mewakili semua agama secara saksama, dan ini amat sukar dilaksanakan,” katanya lagi.

Justeru itu, katanya, kerajaan disarankan untuk memperkasakan mekanisme sedia ada seperti mengukuhkan peranan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum atau memperluaskan platform dialog antara agama bagi memastikan keharmonian serta kebajikan masyarakat majmuk terus terpelihara.

“Tidak perlu dan tidak boleh melantik Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam kerana pentadbiran negara ini sudah pun tersusun dengan baik dalam menjaga kebajikan dan kepentingan semua kaum serta agama,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.

Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.

Anda Mungkin Berminat