PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengulangi pendirian tidak dapat memenuhi tuntutan menaikkan harga lantai padi kepada RM1,800 per tan metrik kerana banyak kilang padi Bumiputera tidak mempunyai modal pusingan yang cukup.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, peningkatan kos bajak, pengangkutan dan upah disebabkan penyelarasan subsidi diesel juga menyumbang kepada tuntutan kenaikan harga lantai padi.
KPKM katanya, akan bersama kementerian lain membincangkan subsidi diesel untuk penyedia perkhidmatan pembajakan dan pengangkutan tetapi pelaksanaannya mengambil masa.
Namun, kerajaan pada Khamis telah menyelaraskan harga lantai padi kepada RM1,500 per tan metrik yang berkuat kuasa 16 Februari ini.
Mohamad menegaskan bahawa penentuan harga lantai padi perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti harga beras dunia dan kos pemprosesan beras bagi mengelakkan kesan buruk di masa hadapan.
“Misalnya, jika harga beras import turun ke peringkat terendah seperti RM2,000 per tan, apakah kesannya jika harga beras tempatan pula pada kadar RM3,600 per tan?
“Kemungkinan boleh berlaku padi tempatan tidak dibeli pengilang dan pengguna pun tidak berminat.
“Pada waktu itu, pesawah tentu akan tersepit sekali lagi,” jelasnya.
Mohamad yakin subsidi diesel akan mengurangkan kos pembajakan dan perkhidmatan lain dengan KPKM mengetatkan peraturan dan penguatkuasaan bagi memastikan penurunan kos ini berlaku.
“Saya juga yakin apabila bantuan diesel ini telah diberikan kepada penyedia perkhidmatan, maka kos pembajakan dan yang lain-lain juga akan turun,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) sebelum ini meminta kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 kepada RM1,800 per tan metrik.
Namun, kerajaan memutuskan harga lantai padi pada RM1,500 per tan metrik.