Bukti Kerajaan bela nasib pesawah – MP Sungai Petani


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Langkah proaktif Kerajaan yang menyelaraskan harga lantai sawah padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan menunjukkan kesungguhan Kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pesawah.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata beliau menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman tersebut yang akan berkuatkuasa pada 16 Februari ini.

“Penyelarasan ini, yang merupakan kali kedua dalam tempoh dua tahun selepas kenaikan daripada RM1,200 ke RM1,300 pada 2023, jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pesawah selepas hampir sedekad harga lantai belian padi tidak berubah.

“Dengan kenaikan ini, pesawah bukan sahaja memperoleh pendapatan yang lebih baik, malah ia memberikan jaminan ekonomi yang lebih stabil kepada golongan yang bergantung kepada industri padi sebagai sumber utama kehidupan,” ujarnya dalam kenyataan media pada Khamis.

Dalam pada itu, kerajaan Madani juga turut memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi bagi mengekalkan harga jualan maksima beras putih tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram.

Pendekatan itu dipercayai memberi faedah yang sangat baik kepada kesejahteraan pesawah dan rakyat terus terpelihara.

Tambahnnya lagi, pihak BERNAS, khususnya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary juga turut menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membantu golongan pesawah dengan menyalurkan tambahan RM30 juta kepada pesawah miskin.

“Sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan yang sebahagian besarnya terdiri daripada pesawah, saya amat menyokong langkah ini dan akan terus memperjuangkan kepentingan komuniti pesawah agar kebajikan mereka sentiasa terjamin.

“Saya juga berharap agar lebih banyak langkah progresif seperti ini dapat diperkenalkan demi meningkatkan kesejahteraan sektor pertanian negara,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat