Che Ta Syukur, Hutang MARA Selesai

Oleh: Haikal Tajuddin

SELEBRITI terkenal Rozita Che Wan yang lebih mesra disapa Che Ta, kini boleh menarik nafas lega setelah berjaya melunaskan segala hutang dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pelakon berusia 52 tahun itu berkongsi rasa syukur dan kelegaan setelah melalui tempoh yang mencabar untuk menjelaskan hutang tersebut.

“Alhamdulillah semua dah selesai. Sudah tiada apa-apa kaitan lagi dengan MARA,” ujarnya dengan penuh kesyukuran.

Walau bagaimanapun, Che Ta masih perlu menghadapi komitmen pinjaman perumahan yang masih berjalan.

“Rasanya semua orang pun tidak boleh mengelak dengan komitmen seperti itu,” tambahnya lagi.

Namun begitu, kehidupan tidak selalu mudah bagi ibu kepada tiga cahaya mata itu, apabila Che Ta meluahkan rasa terkejutnya apabila mendapati ada rakan-rakan yang menjauhkan diri ketika dia berada dalam kesulitan.

“Mestilah ada yang menjauhkan diri. Apabila Allah memberikan ujian, kita boleh tengok yang mana Allah nak jauhkan kita daripada dia, masa itulah dia pergi,” katanya dengan nada positif, menekankan bahawa setiap ujian pasti ada hikmahnya.

Dalam menghadapi kontroversi, Che Ta memilih untuk berdiam diri sebagai langkah terbaik dan lebih matang bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.

“Saya rasa tak perlu nak tampil atau beri penjelasan kepada sesiapa pun.

“Saya tak ada masalah dengan orang lain. Jadi saya simpan untuk diri sendiri,” jelasnya.

Che Ta juga berkongsi bahawa kematangan dan ketenangannya adalah demi kebaikan ahli keluarga terutama anak-anak.

Pada 10 Disember lalu, kediaman Che Ta di Kota Damansara, Petaling Jaya dilaporkan telah diserbu oleh MARA akibat gagal melunaskan pinjaman hampir RM1 juta.

Bagaimanapun, pelakon itu dipercayai telah membuat pembayaran sebanyak RM550,000.

Anda Mungkin Berminat