Duta AS baharu akan diumum, tunggu perkenan Agong – PM

PUCHONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan calon duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sudah dikenal pasti.

Bagaimanapun, pelantikan itu dijangka dimuktamad selepas beliau menziarah Sultan Ibrahim di Bahrain tidak lama lagi bagi mendapat perkenan.

“Ada calon tetapi proses seperti biasa dan akan diperkenan Yang Di-Pertuan Agong. Jadi insya-Allah bila saya dapat ke Bahrain dan ziarah Yang Di-Pertuan Agong, kita boleh dapat perkenan,” katanya memetik laporan media tempatan.

Beliau berkata demikian media media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam, Puchong Perdana.

Perkhidmatan Nazri Aziz sebagai Duta AS telah tamat pada 8 Februari lalu selepas memegang jawatan itu sejak 9 Februari 2023.

Minggu lalu, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mencadangkan lima nama untuk dipertimbang sebagai duta Malaysia ke AS termasuk Nurul Izzah dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Calon lain ialah bekas pengerusi CIMB, Tan Sri Nazir Razak, bekas Ahli Parlimen, Yusmadi Yusoff dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Faiz Abdullah.

Anda Mungkin Berminat