PETALING JAYA: Kurang lagi empat bulan sahaja lagi bakal terjawab teka-teki mengenai calon yang layak menerajui kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai antara individu yang paling berkaliber bagi menyandang jawatan berkenaan.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan mengakui, wujudnya permintaan daripada akar umbi supaya beliau bertanding bagi jawatan Ketua AMK.
Sementara itu, bekas ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad enggan memberi sebarang komen mengenai calon yang benar-benar layak menggalas tanggungjawab tersebut.
Sebaliknya, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengharapkan agar anggota AMK sendiri memilih pemimpin yang terbaik buat kesejahteraan parti.
“InsyaAllah, pemilihan (AMK) kali ini diharapkan dapat memantapkan kestabilan Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri serta menampilkan pimpinan pelapis untuk kelangsungan parti,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Jumaat.
Terdahulu, Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad dilapor berkata, AMK memerlukan kepimpinan baharu diterajui individu berani dan berwibawa yang akan bertanding jawatan Ketua AMK.
PKR sebelum ini menetapkan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) pada 24 Mei ini.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dilaporkan berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat cabang, wanita cabang dan AMK cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.
Baca juga: