PETALING JAYA: Pihak pembangkang perlu bertanya mengenai tempoh monopoli import beras dipanjangkan ketika pentadbiran mereka dan bukannya jumlah beras import di pasaran.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis, Amin Ahmad berkata ‘kerisauan’ pembangkang yang dibangkitkan di parlimen kebelakangan ini sebenarnya menunding kepada mereka sendiri.
“Pada Januari 2021 kerajaan baru sahaja memanjangkan monopoli import oleh BERNAS sehingga tahun 2031.
“Sama ada ia terkait dengan sumbangan pemilik BERNAS kepada parti tertentu, itu biarlah pihak berkuasa menyiasatnya. Di sini sebenarnya penting ada Akta Pendanaan Politik. Tapi itu hal lain.

“Yang saya nak sebut ialah memang bekalan beras tempatan tak cukup antara 30-50 peratus setahun bergantung kepada permintaan atau keperluan disebabkan pelbagai perkara termasuk masalah pengeluaran tempatan.
“Kedua, mengapa monopoli diteruskan? Dengan monopoli, sudah tentu permintaan atau keperluan 30-50 peratus itu tinggi. Adakah kemungkinan import berlebihan atau berlaku juga penyeludupan pada masa lalu?” soalnya di Facebook pada Khamis.
Amin juga menambah banyak perkara yang boleh dibincang dalam rantaian isu beras dan padi, namun mempersoalkan naratif dibawa oleh pembangkang.
“Saya percaya yang dapat lesen begini mahu untung dan dijamin untung melalui monopoli.
“Jadi tak payahlah Mahiaddin Yassin tanya kenapa beras import banyak di pasaran.
“Patut tanya kenapa dia panjangkan monopoli import dan jelaskan apa dia buat sejak dulu untuk bantu pesawah sebagai contoh,” tanyanya.
Di Dewan Rakyat semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mencadangkan Kerajaan menyediakan satu Kertas Putih untuk industri padi dan beras negara berikutan wujud kegiatan mencampurkan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPT) yang kemudiannya dijual dengan harga lebih tinggi.
Beliau mendakwa sejumlah orang terbabit dalam industri padi dan beras kini mengaut keuntungan berbilion ringgit susulan isu yang berlaku kini.
Di Dewan yang sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM150 juta untuk memastikan bekalan beras putih tempatan (BPT) mencukupi di pasaran.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga lantai belian padi RM1,300 bagi setiap tan dengan pengilang menawarkan harga belian lebih tinggi iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800 di pasaran terbuka.
Baca juga: