8 lagi individu dirakam keterangan muat naik kandungan palsu, jelik

PETALING JAYA: Seramai lapan lagi individu sudah dirakam keterangan selepas disyaki memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, kandungan tersebut
didapati boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, kandungan yang dimuat naik itu juga membangkitkan kebencian dan persendaan kepada institusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Menurutnya lagi, pasukan penyiasat telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Katanya, Akta 588 sebelum pindaan dibuat memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pasukan penyiasat MCMC telah mengambil tindakan merakam keterangan kesemua lapan individu di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Pahang, kelmarin.

“Melalui operasi yang dijalankan, lapan unit telefon pintar dan lapan unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.

“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” kata kenyataan itu.

MCMC turut mengingatkan orang ramai untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa memuat naik sebarang kandungan di media sosial dan perkhidmatan pesanan internet.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan berunsur palsu serta kebencian, yang bertentangan dengan nilai dan norma budaya masyarakat majmuk di Malaysia.

11 Februari lalu, MCMC memaklumkan enam individu telah dirakam keterangan selepas dipercayai memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Majlis Raja-Raja di platform Facebook.

Anda Mungkin Berminat