PETALING JAYA: Ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersiap sedia untuk pemilihan parti yang akan datang, terdapat suara sokongan untuk mengekalkan kepimpinan Fadhlina Sidek sebagai Ketua Wanita PKR.
Sokongan itu ditunjukkan oleh Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nurhidayah Che Rose.
Beliau memuji kepimpinan Fadhlina yang bukan sahaja berwibawa dan berkarisma tetapi juga berpandangan jauh.
Beliau menekankan bahawa perubahan besar yang dibawa Fadhlina kepada parti itu.
Katanya, di bawah bimbingannya, sayap Wanita PKR telah mengukuhkan peranannya sebagai ‘tiang’ penting parti sejak beliau memegang tampuk kepimpinan.
“Sebagai Ketua Wanita PKR merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina telah menunjukkan dedikasi luar biasa dalam memperjuangkan agenda wanita, memperkasa pendidikan dan memajukan masyarakat.
“Inisiatif berjaya beliau bukan sahaja membawa manfaat besar kepada rakyat, malah memperkukuhkan peranan wanita sebagai pemangkin perubahan dan tulang belakang pembangunan negara.
“Salah satu kualiti kepimpinan Fadhlina yang menonjol adalah komitmennya kepada falsafah ‘leader creates leader’ (pemimpin mencipta pemimpin).
“Prinsip ini memberi tumpuan kepada pembinaan kepimpinan yang berdaya saing dalam parti, menyediakan platform untuk Ketua Wanita Negeri dan pemimpin pelapis untuk menyerlah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas perkara sama, Nurhidayah mengakui bahawa, walaupun dibebani dengan tanggungjawab besar mengurus hal ehwal kementerian, Fadhlina tidak pernah mengabaikan keperluan rakyat di kawasannya di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Jelasnya, jadual padat Fadhlina tidak pernah menjadi alasan untuk beliau mengabaikan kebajikan masyarakat setempat.
Katanya lagi, usaha berterusan Fadhlina dalam memastikan segala bentuk bantuan serta kemudahan latihan dapat disalurkan dengan lancar kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasannya adalah bukti nyata keprihatinan dan komitmen beliau yang tinggi.
Selain itu, tambahnya, Fadhlina turut memberi penekanan khusus terhadap pembangunan dan pemerkasaan wanita terutamanya dalam kalangan wanita Pulau Pinang agar mereka memperoleh peluang yang lebih luas dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial dan kepimpinan.
“Keupayaan beliau untuk menyatukan dan menyantuni semua lapisan masyarakat adalah bukti nyata kepimpinan beliau yang adil, bijaksana dan berprinsip.
“Sikap kepimpinan yang inklusif, prihatin dan adil ini jelas mencerminkan keperibadian beliau sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan kebajikan rakyat di luar batasan perbezaan politik,” katanya.
Oleh itu, Nurhidayah menegaskan bahawa kepimpinan Fadhlina perlu dikekalkan agar usaha murni beliau dapat diteruskan demi kesejahteraan masyarakat.
Beliau menambah bahawa kepimpinan Fadhlina adalah aset penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan serta pengukuhan Wanita PKR sebagai tunjang parti.
“Kami akan terus berdiri teguh bersama beliau (Fadhlina) dalam memastikan agenda wanita terus diperjuangkan dan hak serta kebajikan rakyat Malaysia terus dipertahankan,” katanya.
PKR sebelum ini menetapkan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) pada 24 Mei ini.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dilaporkan berkata, pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.