Lagi pembebasan 369 tahanan Palestin oleh Israel

ISRAEL bakal membebaskan 369 tahanan Palestin pada hari Sabtu, sebagai sebahagian daripada pertukaran keenam sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.

Pejabat Media Tahanan Palestin dalam kenyataan berkata, angka itu termasuk 36 tahanan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 333 tahanan dari Gaza yang ditangkap selepas tragedi 7 Oktober 2023.

Selain itu, 24 tahanan yang dibebaskan akan dihantar ke luar negara.

Briged Al-Qassam, sayap tentera Hamas telah mengumumkan bahawa tiga tawanan Israel akan dibebaskan pada hari yang sama sebagai sebahagian daripada pertukaran itu.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata, pembebasan itu akan dilakukan dengan cara yang sesuai yang mencerminkan budaya dan ajaran Islam Palestin.

Dalam lima proses pertukaran sebelum ini, Hamas telah membebaskan 16 tawanan Israel sebagai pertukaran bagi 765 rakyat Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel termasuk wanita dan kanak-kanak.

Namun, proses pembebasan seterusnya akan ditangguhkan selepas Hamas mendakwa bahawa Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata.

Walau bagaimanapun, Hamas pada Khamis lalu mengesahkan komitmennya untuk melaksanakan perjanjian tersebut.

Gencatan senjata itu telah menangguhkan perang selama 15 bulan sejak Oktober 2023 yang mengorbankan lebih 48,000 penduduk Gaza.

Perang berlarutan itu tidak termasuk konflik yang telah tercetus puluhan tahun sebelumnya akibat kekejaman rejim Zionis di Palestin.

Anda Mungkin Berminat