Malaysia dan Mesir bersatu dalam usaha kemanusiaan, pembangunan semula Gaza

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbincangannya dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi semalam, menegaskan komitmen Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin.

Menurut Anwar, perbincangan tersebut menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.

“Saya mengulangi pendirian Malaysia untuk menyediakan bantuan kemanusiaan, perubatan dan pembangunan semula bagi rakyat Palestin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau menekankan sokongan Malaysia terhadap perjuangan menuntut keadilan buat Palestin dan menolak sebarang usaha menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza yang dianggap bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Anwar turut mengucapkan penghargaan terhadap pendirian Mesir yang terus menghulurkan bantuan dan mempermudahkan usaha Malaysia dalam menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel.

“Presiden El-Sisi menyatakan sokongan terhadap inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang digerakkan oleh Jepun dan Malaysia.

“Gerakan membantu Palestin akan lebih berkesan dengan solidariti dari lebih banyak negara,” ujarnya.

Selain isu Palestin, kedua-dua pemimpin turut membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Mesir dengan mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan.

Anda Mungkin Berminat