PRR insiatif Kerajaan Madani, naik taraf hidup rakyat marhaen

PETALING JAYA: Isu pendidikan, kesihatan dan perumahan masih menjadi agenda penting Kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak berlapang dan berada dalam zon selesa.

Sebaliknya, katanya, usaha membantu pihak dan golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama masih perlu terus dilakukan serta dilipatgandakan.

“Program hari ini (Sabtu) adalah contoh bahawa nasib rakyat yang memerlukan seperti pekerja estet, tetap menjadi jadual penting kerajaan bagi menaiktaraf kehidupan mereka ke tahap lebih baik dan selesa.

“Justeru, saya percaya prakarsa ini boleh diperluaskan lagi dan menjadi contoh kepada projek perumahan lain dalam mengangkat serta menjulang kebajikan rakyat negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anwar membangkitkan perkara sama ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, di Bestari Jaya, dekat Kuala Selangor pada Sabtu.

PRR Harmoni Madani Bestari Jaya merupakan projek kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB).

Kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM75 juta, melibatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM35 juta.

Tapak tanah berkeluasan 20 ekar tersebut disediakan secara percuma oleh Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB), manakala PR1MA dilantik sebagai agensi pelaksana bertanggungjawab merealisasikan projek berkenaan.

Anda Mungkin Berminat