PETALING JAYA: Gerakan Media Merdeka (Geramm) menggesa majikan The Malaysian Insight, The Vibes dan Getaran agar segera melunaskan tunggakan gaji caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan potongan cukai untuk pekerja pada 2024.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 14 kakitangan mendakwa gaji mereka dipotong setiap bulan, namun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta potongan cukai tidak dilunaskan sepanjang tahun lalu.
“Geramm menyeru semua siasatan yang sedang berjalan, antara lain oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia terhadap pihak majikan, untuk disegerakan.
“Geramm juga menggesa pemilik media berkaitan serta pihak pengurusan agar tidak bersikap lepas tangan dan enggan bekerjasama bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pihak majikan seharusnya bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja dan memastikan hak-hak asas mereka dipenuhi selaras dengan undang-undang yang ditetapkan.
Terdahulu, seramai 15 kakitangan Petra News Sdn Bhd termasuk penerbit tiga portal berita tersebut menuntut pembayaran segera KWSP, Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan PERKESO bagi tahun 2024.
Dalam satu kenyataan, kakitangan mendakwa semakan dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkeso mendapati bahawa walaupun pemotongan gaji telah dibuat untuk caruman berkanun, Petra News gagal menyerahkan bayaran bagi pihak pekerja dan majikan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, kakitangan terjejas telah membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Brickfields, Kuala Lumpur pada 14 Februari 2025.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa organisasi media yang menghadapi isu tunggakan gaji petugas agar segera menyelesaikan bayaran tersebut.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.