KLUANG: Dua remaja lelaki ditahan selepas didapati menunggang motosikal secara berbahaya dengan membuat aksi ‘wheelie’ di KM 83.9, Jalan Kluang, Kota Tinggi pada 15 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, remaja tersebut ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dilakukan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di sekitar daerah itu.
“Aksi remaja berusia 15 dan 16 tahun itu boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Hasil pemeriksaan ujian air kencing kedua mereka juga didapati negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, sepanjang operasi selama empat jam itu, seramai 21 individu dengan 17 buah motosikal diperiksa dan sebanyak 14 keping saman dikeluarkan polis atas pelbagai kesalahan trafik.
Ujarnya lagi, operasi tersebut akan kerap dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa selamat dan tidak berlaku sebarang kecelakaan yang tidak diingini.
Baca juga: