PETALING JAYA: Pengadil, Fitri Maskin dipecat daripada semua tugasan kerana menunjukan prestasi yang lemah ketika perlawanan Piala MFL 2024-2025, Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis lalu.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan berkompromi dalam isu yang berkaitan prestasi lemah yang ditunjukkan oleh pengadil.
“Laporan Penilai Pengadil telah menunjukkan prestasi Fitri mempengaruhi keputusan perlawanan.
“Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa perlawanan dan mendapati keputusan sepakan penalti yang diberikan oleh beliau adalah kurang tepat.
“Hasil analisa juga menunjukkan tambahan masa yang diberi iaitu 15 minit pada akhir perlawanan adalah keterlaluan sehingga menyebabkan perlawanan yang sepatutnya berkesudahan seri, berakhir dengan keputusan berbeza.
“Ini jelas membuktikan bahawa keputusan pengadil telah mempengaruhi dan memberi impak yang jelas kepada keputusan akhir perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam perlawanan itu, Selangor berjaya meraih kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan yang turut diselubungi kontroversi menerusi dua sepakan penalti pada penghujung perlawanan.
Jelas beliau, pemecatan Fitri diumumkan selepas mengadakan perbincangan yang mendalam bersama dengan kepimpinan tertinggi FAM.
Tambahnya, walaupun keputusan tegas ini dibuat dengan hati yang berat, namun ia perlu dijadikan sebagai satu pengajaran kepada semua pengadil.
“Keputusan memecat pengadil adalah satu tindakan yang pertama kali dibuat kerana sebelum ini, pengadil hanya digantung tugas. Ini satu isyarat jelas supaya pengadil perlu lebih serius ketika menjalankan tanggungjawab mereka di atas padang,” jelas beliau.
Baca juga: