Polis nafi kes Hejira Travel tiada tindakan, masih disiasat

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia menegaskan siasatan terhadap Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd masih diteruskan, sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa pihaknya tidak menyiasat kes tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata, sehingga 7 Februari lalu, sebanyak 141 laporan polis telah diterima membabitkan kerugian RM3,015,412.

“Kenyataan aktivis Mind Pro Management berhubung kes penipuan umrah membabitkan Hejira Travel & Tours Holding Sdn. Bhd. memberi gambaran seolah-olah tiada siasatan dilakukan olehnya.

“Sedangkan, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kenyataan oleh aktivis itu tidak benar, tidak bertanggungjawab dan memberi persepsi buruk kepada PDRM,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, kata beliau, undang-undang negara ini memperuntukkan kuasa siasatan yang berbeza kepada agensi penguatkuasa yang berlainan justeru, kesalahan termaktub di dalam undang-undang tertentu hendaklah disiasat agensi yang dipertanggungjawabkan agar tindakan yang lebih tepat serta sesuai dapat dilaksanakan.

Semalam, dalam satu sidang media, Penasihat Undang-Undang dan aktivitis Mind Pro Management, Ena Awil telah menyuarakan rasa tidak puas hati selepas mendapati siasatan terhadap kes berkenaan diklasifikasi sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau ‘Refer to Other Agency’ (ROA) tanpa tindakan lanjut.

Dakwanya, tindakan berkenaan adalah tidak wajar memandangkan elemen penipuan jelas berlaku dan seharusnya disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan serta denda bagi kesalahan menipu dan memperdaya.

Menurut beliau, sebahagian laporan turut dirujuk kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang mengawal selia sektor umrah di Malaysia.

Pada 20 Januari, polis Johor menahan pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, yang disyaki terbabit dalam penipuan umrah.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pasangan tersebut ditangkap kelmarin, selepas dibebaskan dengan jaminan oleh Polis Kontinjen Selangor selepas tamat tempoh reman di negeri itu.

Anda Mungkin Berminat