Polis tumpas sindiket proses e-waste nilai lebih RM70 juta

JOHOR BAHRU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket menyimpan dan memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram dalam serbuan di tiga kilang di Desa Cemerlang Ulu Tiram dan Plentong pada 14 Februari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi bersepadu yang bermula pada jam 6.10 pagi itu melibatkan sepasukan anggota dari unit Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua bersama-sama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

“Sebanyak 1,369 guni seberat 2,379 tan pelbagai jenis logam seperti besi, timah, tembaga, komponen automotif, elektronik dan plastik dirampas.

“Turut dirampas, 47 jentera dan mesin pemprosesan pelbagai jenis, 28 pallet seberat 22.4 tan mengandungi muatan pelbagai jenis logam besi, timah, tembaga, komponen automotif, elektronik dan plastik dan 41 tan square tan dengan muatan komponen automotif dan serbuk besi.

“Selain itu, barangan lain yang dirampas ialah 55 tan longgokan besi dan komponen automotif, 10 tong gas, tiga telefon bimbit, dua tungku besi, satu ketuhar pembakar besi dan satu raga aluminium berisi komponen automotif seberat dua tan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, kesemua barangan yang bernilai RM71.52 juta yang dirampas itu diserahkan JAS Johor untuk siasatan lanjut.

Selain itu, katanya, dua lelaki warga asing dipercayai pekerja premis terbabit juga ditahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 18 (1); 19 dan 34 (A)(6) Akta Kualiti Alam Sekeling 1974 serta Undang-undang kecil 3(1) dan 50(1) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBJB 2016,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat