PETALING JAYA: Niat seorang lelaki untuk membantu mangsa kemalangan berakhir tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer (KM) 69.2 Lebuh Raya Karak-KL menghala ke Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang semalam.
Ketua Polis Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata mangsa, Tan Wing Foo, 47, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Bentong.
“Siasatan awal pihak polis mendapati sebuah kereta dalam perjalanan dari Kuantan menghala Ke Kuala lumpur terbabas dan masuk ke dalam longkang.
“Beberapa kenderaan yang lalu di kawasan tersebut telah memberhentikan kenderaan bagi membantu kereta yang terbabas.
“Ketika mangsa membantu mengawal lalu lintas, sebuah kereta tidak dapat mengawal kenderaan lalu telah merempuh dua orang mangsa di lokasi nahas,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat kemalangan tersebut, katanya, seramai empat orang mangsa telah dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Zaiham memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar menghubungi pihak konsesi lebuh raya atau talian kecemasan sekiranya melihat kemalangan atau terlibat dengan kemalangan.
Baca juga: