Kerani kena ‘scam’ RM1 juta dalam pelaburan tidak wujud

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Akibat menyertai skim pelaburan saham yang dikenali sebagai pelaburan Baird, seorang warga emas dilaporkan mengalami kerugian besar bernilai RM1 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata wanita berusia 65 tahun itu merupakan seorang kerani di syarikat swasta dan mula menyertai pelaburan tersebut di pertengahan bulan Disember tahun lalu (2024).

Dalam siasatan yang sama, sebelum kejadian, mangsa kepada sindiket penipuan tersebut mengakui bahawa pelaburan itu dimuat naik di laman sosial Facebook.

“Pada ketika itu, mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp yang ditadbir oleh individu yang bernama Wendy Lim. Mangsa dijanjikan pulangan yang lumayan sehingga 40 peratus.

“Bagi tujuan tersebut, mangsa telah diminta untuk membuat 11 transaksi bayaran melibatkan tiga akaun bank yang berbeza berjumlah RM1 juta.

“Pada bulan Februari 2025, mangsa bercadang hendak membuat pengeluaran keuntungan namun diminta terlebih dahulu untuk mendepositkan wang sebanyak RM309,208.

“Setelah sedar di perdaya, mangsa gagal memperoleh keuntungan seperti yang dijanjikan,” jelasnya.

Susulan itu, pihak polis mengambil tindakan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Hussein menasihati orang ramai untuk lebih berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang disiarkan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah khususnya melalui aplikasi kewangan mahupun pelaburan.

Katanya, aplikasi itu wajar mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mahupun Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat