Amanah WP kecam hipokrasi PAS berkaitan Akta PSB

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan (Amanah WP) tegas mengecam tindakan PAS sebagai hipokrasi kerana melemparkan tuduhan berkaitan Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta PSB).

Amanah WP berkata tuduhan PAS itu munafik kerana mendakwa akta itu seakan-akan menghalau orang Melayu dan India yang miskin bandar untuk keluar dari penempatan mereka.

Katanya, pihak pembangkang menuduh cadangan Akta PSB yang akan dibentangkan pada bulan Julai akan datang sebagai “Akta Rampas Rumah”.

“Amanah WP kesal dengan tahap pemahaman dan intelektual yang sangat rendah yang dimiliki oleh pihak pembangkang yang seringkali memanipulasikan isu dan memainkan sentimen perkauman sempit demi survival politik.

“Tidak sedikit pun mengambil inisiatif untuk membaca serta memahami keseluruhan kandungan, tujuan dan objektif perundangan tersebut dibuat.

“Ironinya, cadangan Akta PSB yang disebut oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming di Parlimen baru-baru ini adalah merupakan kesinambungan dari cadangan tentang pembangunan semula bandar yang mula dicadangkan sejak dari tahun 2021 lagi.

“… semasa Perikatan Nasional menjadi kerajaan dengan PAS di dalamnya. Kenapa tidak kedengaran pun rintihan dan tuduhan seperti yang dibangkitkan sekarang oleh PAS pada waktu itu?,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Justeru, Amanah WP menyarankan agar pembangkang berhenti melemparkan tuduhan bersifat perkauman disebabkan cadangan yang diusulkan itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga turut merupakan ahli persatuan DAP.

Sebelum ini, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) telah bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.

Difahamkan, rancangan mengenai PSB sudah dibincangkan oleh KPKT seawal 2021 ketika Zuraida Kamaruddin menjawat portfolio kementerian tersebut.

Zuraida melihat keperluan meminda dua akta iaitu Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bagi memperkasakan peranan serta bidang penguatkuasaan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), namun tiada sebarang tindakan dilakukan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat