PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Memetik laporan media tempatan, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim menerima rayuan akhir semua perayu atas keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Enam bekas pelajar itu selaku perayu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, masing-masing berusia 29 tahun.
Bagaimanapun, beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengembalikan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi terhadap mereka.
Hasnah dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati elemen kecederaan mangsa menyebabkan kematian tidak dapat dibuktikan keraguan munasabah.
“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan keputusan hakim Mahkamah Tinggi iaitu Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan persubahatan dikembalikan, hukuman penjara 18 tahun dikekalkan,” katanya.
Pada 23 Julai 2024, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap keenam-enamnya kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.
Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap semua enam pelajar itu, selepas mendapati mereka bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.
Bekas pelajar tersebut, kini berusia 29 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Baca juga: