PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming memuji Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas prestasi cemerlang dengan kadar dividen sebanyak 6.3 peratus untuk simpanan konvensional dan syariah pada tahun 2024.
Menurutnya, prestasi itu juga adalah kadar tertinggi sejak 2017.
Tambah Kor Ming, kadar dividen itu membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat di bawah pimpinan Kerajaan MADANI di terajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kestabilan politik yang dipelihara oleh Kerajaan telah memainkan peranan penting dalam memulihkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi negara, termasuk pertumbuhan kukuh sebanyak 5.1 peratus tahun lalu.
“Pulangan memberangsangkan diumumkan oleh KWSP menjadi bukti kukuh bahawa dasar kerajaan berada pada landasan yang betul serta komitmen berterusan untuk memperkukuh taraf hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, sejak kerajaan mengambil alih pentadbiran, keutamaan diberikan kepada pemerkasaan ekonomi negara dengan matlamat utama meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau juga menambah bahawa kerajaan komited untuk memastikan kemakmuran jangka panjang bagi semua rakyat, dengan melaksanakan dasar-dasar yang memfokuskan kestabilan ekonomi, termasuk inisiatif pemilikan rumah untuk membantu pembeli rumah pertama.
“Inisiatif ini telah menyaksikan kadar pemilikan rumah di Malaysia meningkat kepada 76.9 peratus,” katanya.
Baca juga: