Wanita gigit penguatkuasa DBKL didenda RM3,000

PETALING JAYA: Seorang wanita yang tular di media sosial kerana menyerang dan menggigit pegawai penguatkuasa Dewan Bandara Kuala Lumpur (DBKL) dihukum denda sebanyak RM3,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas wanita berusia 30 tahun itu membuat pengakuan bersalah di mahkamah semalam.

“Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam) dan dia mengaku bersalah sebelum dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh mahkamah.

“Satu lagi tangkapan membabitkan tiga lelaki berusia 15 hingga 39 tahun akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) esok (Isnin),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan empat penjaja termasuk seorang wanita ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes serangan secara berasingan ke atas pegawai penguatkuasa DBKL, Rabu lalu.

Kejadian pertama kira-kira pukul 11.30 pagi di Jalan Benteng berlaku ketika pegawai DBKL mengalihkan ‘food truck’ yang menghalang lorong sebelum diserang dan digigit sehingga cedera.

Dalam kejadian kedua sekitar pukul 10.08 malam, polis menerima satu lagi laporan daripada pegawai penguatkuasa DBKL yang didakwa dirempuh secara kasar ketika melakukan penyuraian di Masjid India.

Anda Mungkin Berminat