Buaya sepanjang 2 meter ditangkap dalam longkang

SANDAKAN: Penduduk di sekitar Jalan Seguntur dikejutkan dengan penemuan seekor buaya sepanjang dua meter yang berkeliaran dalam longkang, betul-betul di hadapan sebuah pasaraya.

Peristiwa luar biasa ini menarik perhatian ramai apabila pasukan bomba dikerahkan untuk menangkap reptilia tersebut pagi ini.

Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.37 pagi dan dengan pantas, sembilan anggota tiba di lokasi kejadian dengan misi menangkap ‘tetamu tak diundang’ itu.

“Operasi itu diketuai oleh PBK II Hazmizan Maksit yang memastikan buaya itu ditangani dengan selamat tanpa sebarang kecederaan kepada pasukan mahupun orang awam.

“Reptilia liar itu yang mungkin sedang mencari habitat baharu atau tersesat dalam persekitaran manusia yang akhirnya berjaya ditangkap,” menurut JBPM dalam satu kenyataan.

Tidak lama selepas itu, dilaporkan buaya berkenaan diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Anda Mungkin Berminat