PETALING JAYA: Datin Anita Azrina Abdul Aziz kini secara rasmi menjadi Pengerusi baharu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), menggantikan Datuk Hans Isaac yang tamat tempoh lantikannya pada hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan pelantikan itu yang turut menyaksikan Datuk Seri Winsor John dipilih sebagai Timbalan Pengerusi bagi penggal 2025-2027.
Anita Azrina, bekas ahli korporat PETRONAS membawa pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penajaan.
Hannah berkata, beliau yakin Winsor yang memiliki kepakaran dalam bola sepak, gabungan itu dijangka membawa pengurusan PSM ke tahap lebih tinggi termasuk mempertingkatkan mutu pengurusan KL Sports City dan kemudahan sukan lain.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mantan Pengerusi, Datuk Hans Isaac atas sumbangan beliau selama dua tahun mentadbir KL Sports City dan aset-aset PSM dengan begitu baik,” kata Hannah selepas Majlis Berbuka Puasa Kementerian Belia dan Sukan bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM), semalam.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, pelantikan Anita Azrina dan Winsor juga dilihat sebagai langkah strategik untuk melancarkan proses menaik taraf KL Sports City menjelang Sukan SEA 2027, di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah.
“Tumpuan utama adalah memastikan fasiliti sukan ditingkatkan, pembinaan bangunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berjalan lancar, dan tajaan diperbanyakkan bagi menyokong perkembangan sukan dan hiburan,” katanya.
Hans Isaac sebelum ini mengumumkan keputusannya untuk tidak melanjutkan jawatan sebagai Pengerusi PSM melalui media sosialnya dengan berkata bahawa tempohnya selama dua tahun telah mencapai objektif yang ditetapkan.