UPKK 2024: 22,351 calon peroleh 9A, GPS keseluruhan meningkat

PUTRAJAYA: Seramai 22,351 daripada 236,986 calon Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2024 memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat A dalam kesemua sembilan mata pelajaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pencapaian keseluruhan UPKK tahun ini menunjukkan peningkatan dengan Gred Purata Skor (GPS) mencatat 1.85 mata, lebih baik daripada 1.89 pada tahun 2023.

Beliau turut memaklumkan bahawa mulai tahun ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menggunakan format instrumen baharu bagi tujuh mata pelajaran, melibatkan ujian lisan dan bertulis.

“Format baharu ini selaras dengan Kurikulum KAFA 2.0 yang mula digunakan pada 2020 bagi memastikan pengukuran dan penilaian lebih autentik.

“Ia juga membantu membentuk murid yang lebih memahami asas fardu ain dan menghayati pembelajaran secara lebih mendalam,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan UPKK 2024 di sini, hari ini.

Sebanyak sembilan mata pelajaran dinilai dalam UPKK, termasuk Al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Ibadah, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.

Menurut Mohd Na’im, semua pihak termasuk agensi pelaksana negeri, guru, ibu bapa dan calon telah diberi pendedahan berkenaan perubahan ini sebelum peperiksaan berlangsung bagi memastikan kelancaran proses penilaian.

Sebanyak 236,986 daripada 240,244 calon yang mendaftar telah hadir menduduki peperiksaan di 6,176 pusat peperiksaan di seluruh negara.

“Jumlah ketidakhadiran calon sangat penting sebab kalau ramai pelajar hadir, itu menggambarkan keyakinan pelajar, guru dan ibu bapa terhadap UPKK itu sendiri,” katanya.

Beliau turut berkata, peperiksaan itu bukan sekadar pengukuran akademik tetapi juga bertujuan membentuk murid yang seimbang daripada sudut intelektual dan sahsiah.

“Pembelajaran KAFA tidak tertumpu kepada peperiksaan sahaja, namun pengamalan nilai-nilai Islam yang tinggi dalam pembentukan jati diri dapat melahirkan murid yang lebih baik dari segi keperibadian,” katanya.

Anda Mungkin Berminat