Maritim bakal terima kapal versi multi fungsi ciptaan Turkiye

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menerima sebuah kapal induk multi fungsi (MPMS) hasil buatan syarikat pembuat kapal Turkiye Desan Shipyard.

Menerusi kenyataan di laman Facebook pada Sabtu, sebuah majlis perjanjian Surat Setuju Terima (SST) telah dimeterai bagi perolehan kapal tersebut.

Katanya, majlis tersebut berlangsung di Desan Shipyard, Turkiye pada Jumaat.

Tindakan ini katanya, selaras dengan usaha meningkatkan keupayaan operasi Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan maritim negara, khususnya di Laut China Selatan lebih terjamin.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik bin Jeman berkata, perolehan kapal bernilai USD68.8 juta itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh keselamatan perairan negara.

Malah katanya, ia turut mencerminkan hubungan erat Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan dan industri pembinaan kapal.

“Kapal MPMS ini akan menjadi aset penting dalam mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Kerjasama ini membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam menangani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks, termasuk pencerobohan vesel asing dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah menjelaskan, ciri-ciri kapal tersebut yang dilengkapi dengan teknologi canggih dan sistem operasi moden yang mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.

“Kapal sepanjang 99 meter ini boleh beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan mampu membawa 70 kru serta 30 penumpang.

“Ia juga dilengkapi dengan empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan serta pusat tahanan,” katanya.

Tambahnya, apabila kapal itu siap dibina, ia bakal memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan, terutama dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram, penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Untuk rekod, majlis pemeteraian perjanjian itu merupakan sebahagian daripada rentetan sesi pertukaran dokumen rasmi yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Turkiye, Reccep Tayyip Erdogan ketika lawatan rasmi pemimpin Turkiye itu ke Malaysia pada 11 Februari lalu.

Jelasnya lagi, delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan ke ibu pejabat dan limbungan selenggara Desan Shipyard, bagi melihat keupayaan dan kemampuan syarikat berkenaan dalam pembinaan kapal.

Justeru katanya, dengan perolehan kapal MPMS tersebut, Maritim Malaysia amat yakin dapat meningkatkan kecekapan operasi, sekali gus memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara bagi memastikan kedaulatan maritim Malaysia terus terpelihara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat