Menteri nafi pampasan RM2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan dakwaan bahawa pampasan berjumlah RM2 juta diberikan kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman susulan pemindahan kuil itu bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, menegaskan bahawa tuduhan tersebut, yang tular di media sosial termasuk menerusi hantaran oleh aktivis Firdaus Wong Wai Hung di Facebook, adalah tidak berasas dan tidak benar.

“Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang didakwa. Malah, tiada sebarang perjanjian lain dibuat selain daripada penyelesaian rasmi yang telah saya umumkan semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, keputusan yang diambil adalah hasil perbincangan secara harmoni dengan semua pihak terlibat dan bersifat menang-menang.

“Paling utama, pembinaan masjid yang tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta dapat diteruskan seperti yang dirancang, manakala pihak kuil bersetuju berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penyelesaian tersebut tidak boleh dijadikan sebagai rujukan untuk kes lain pada masa akan datang kerana ia adalah keputusan khusus yang dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk sensitiviti masyarakat dan undang-undang.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha menggesa agar semua pihak menghentikan polemik tidak berfaedah dan tidak mengapi-apikan sentimen agama serta perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih.

“Kita perlu menjaga keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat