Karyawan, 3P Muzik kesal tiga badan pengutip royalti ‘protes’ garis panduan baharu

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Terdapat tiga badan pengutip royalti berlesen tidak menyokong Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Perkara itu didedahkan oleh Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez bahawa tindakan itu satu protes secara terang-terangan.

“Majoriti penggiat seni dan beberapa pengguna karya hak cipta, persatuan artis dan komposer utama negara seperti Karyawan dan 3P Muzik erat bersatu hati dalam menyokong sepenuhnya yang diperkenalkan oleh kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Tapi nampaknya tiga badan iaitu MACP, PPM dan RPM tidak puas hati dengan garis panduan tersebut dan memutuskan untuk tidak hadir, rupanya sebagai satu bentuk protes,” katanya kepada kepada pemberita selepas majlis Sidang Harmoni Industri Muzik baru-baru ini.

Tambahnya lagi, usaha ke arah garis panduan tersebut bukannya mudah kerana mereka (persatuan seperti Karyawan, 3P Muzik dan persatuan penggiat seni lain) sudah lebih tiga tahun giat dalam menyuarakan pandangan, pendapat serta ketidakadilan yang sering dialami oleh para pengkarya, artis dan penyanyi berhubung pembahagian hasil royalti.

“Setelah segala keringat seni mereka dicurahkan buat industri seni negara ini, kerajaan kini mendengar serta cakna dengan segala permasalahan lantas memperkenalkan garis panduan itu.

“Kami semua menyokong garis panduan ini kerana ia hasil daripada usaha tiga tahun menyuarakan pendapat, tentang ketidakadilan sebagainya jadi kita, jadi kita memberikan sokongan padu kepada pengenalan garis panduan itu,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, tiga badan pengutip royalti terbabit menzahirkan rasa tidak setuju kerana dipercayai berasa kedudukan mereka sebagai badan yang memonopoli hasil royalti seni negara bakal tergugat.

Tambahnya lagi, pihaknya turut mendapat banyak aduan daripada pengguna muzik seperti stesen penyiaran, hotel, kompleks membeli-belah dan sektor runcit mengenai perlu membayar beberapa kali untuk menggunakan muzik yang sama.

“Mereka lebih suka jika ada hanya satu badan untuk mengutip royalti daripada lima badan sedia ada termasuk masing-masing satu dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Justeru, kedua-dua persatuan itu mencadangkan agar kerajaan dapat mengguna pakai sistem yang digunakan oleh United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand, di mana pengguna hanya perlu membayar kepada satu badan dan tarif ditentukan dengan mengambil kira hak semua pihak berkepentingan, sama ada mereka komposer, penyanyi, pemuzik atau syarikat rakaman.

Pada perkembangan yang sama, Timbalan Presiden Persatuan 3P Muzik, Zaim Zaidee tampil mempersoalkan mengapa tiga badan terbabit tidak setuju dengan garis panduan terbabit.

Katanya, mereka sepatutnya bersetuju kerana garis panduan tersebut memperbetulkan kembali pengurusan, keseimbangan pembahagian royalti dan keadilan buat seluruh penggiat seni.

Zaim turut menepis kenyataan bersama oleh tiga badan iaitu iaitu MACP, PPM dan RPM yang mendakwa kerajaan tidak mengambil dan menilai pandangan mereka terlebih dahulu sebelum merangka garis panduan terbabit.

“Jadi kami 100 peratus menyokong garis panduan itu dan berharap pihak yang tidak bersetuju itu untuk tetap mengikut garis panduan itu demi industri seni negara,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat