KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa negeri Sabah memerlukan kestabilan politik dan bukan perpecahan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Justeru, katanya, Barisan Nasional (BN) akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN) Sabah.
Tegasnya, pendirian itu adalah jelas memandangkan BN dan PH ketika ini merupakan tunjang utama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Pendirian dalam hal ini adalah jelas. BN dan PH merupakan tunjang utama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Maka, di Sabah juga, kita tidak seharusnya berpisah. Kita bersatu demi perpaduan, kestabilan dan pembangunan.
“Fokus kita ialah kepada negeri dan rakyat bukan kepada politiking yang tiada kesudahan. Kita menolak politik ekstrem yang memecah-belahkan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Salleh menekankan bahawa kerjasama antara BN dan PH tidak bersifat eksklusif, malah terbuka untuk berkolaborasi dengan parti-parti tempatan yang berkongsi aspirasi yang sama.
Beliau menekankan keperluan keikhlasan dan kesediaan untuk bekerjasama tanpa mengutamakan kepentingan peribadi atau dominasi politik.
“Sebarang pakatan perlu berteraskan pengagihan kerusi yang adil, dasar bersama termasuk menghormati autonomi Sabah, serta sikap saling menghormati bukannya amalan politik ‘abang besar’,” tambah beliau.
Salleh turut menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam rundingan politik bergerak sebagai satu pasukan setelah prinsip-prinsip kerjasama dipersetujui.
“Inilah komitmen bersama kita demi masa depan Sabah. Perjuangan ini bukan bersifat peribadi,” katanya.
Baca juga;