PETALING JAYA: Dalam suasana Aidilfitri yang penuh keberkatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan silaturahmi daripada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Ahad.
Menurut hantaran di Facebook Anwar, pertemuan yang diadakan di Putrajaya itu bukan sekadar simbol persahabatan tetapi juga menjadi platform penting untuk membincangkan isu-isu serantau yang mendesak.
“Kami berbincang mengenai isu-isu serantau yang penting termasuk dampak tarif baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap negara-negara ASEAN.
“Selain itu, turut menyentuh usaha dan tindakan bersama dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang terkesan akibat bencana gempa bumi baru-baru ini,” katanya.
Dalam suasana penuh harmoni, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen mereka untuk memperkukuh hubungan persaudaraan dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia.
“Semoga semangat Aidilfitri terus memperkuat hubungan persaudaraan dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia atas nama keamanan dan kesejahteraan serantau,” ujarnya.
Pada Jumaat, Anwar berkata Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN akan mengadakan rundingan dengan beberapa negara anggota blok bagi mencapai persetujuan bersama mengenai isu tarif timbal balik, demi memastikan prinsip keadilan dapat diterapkan dalam perdagangan antarabangsa.